Tahun 2017 ini genaplah 60 tahun negara kita Malaysia mencapai kemerdekaan. Sepanjang enam dekad mengecapi dan melalui liku-liku kemerdekaan tersebut, banyak kemajuan dan kejayaan yang telah dicapai oleh negara ini dalam pelbagai bidang. Namun, tidak dinafikan di sana terdapat juga kelemahan dan kekurangan-kekurangan dalam aspek-aspek tertentu yang boleh diperbaiki.
Di sinilah cabarannya, bahawa untuk mempertahankan segala kemajuan dan kejayaan tersebut, serta menyantuni sebarang kelemahan yang ada, sudah pasti ianya merupakan satu tugas dan tanggungjawab yang tidak kurang hebat.
Berdasarkan hakikat di atas, sudah sesuai masanya untuk kita melakukan sedikit retrospeksi (permuhasabahan) secara konstruktif terhadap perjalanan kedewasaan usia kemerdekaan tersebut. Ini bagi memungkinkan kita melihat cadangan-cadangan yang tuntas untuk membantu mengusulkan resolusi kepada pihak berwewenang langkah-langkah proaktif dan konstruktif bagi memastikan kemampanan negara kita bergerak ke hadapan.